Daripada kalangan anak Qusai bin Kilab adalah Abdul Manaf. Antara anak-anak Abdul Manaf adalah Muttalib dan Hasyim. Antara anak-anak Hasyim adalah Syaibah. Syaibah adalah anak Hasyim daripada isterinya yang bernama Ummu Hasyim, seorang wanita bangsawan di kalangan kaumnya yang tinggal di luar Mekah. Hasyim tidak panjang umurnya. Semasa Syaibah masih kecil lagi, dia sudah meninggal dunia.
Syaibah dibesarkan oleh ibunya dalam suku kaum ibunya di luar Mekah, Apabila Syaibah sudah remaja, bapa saudaranya Muttalib ingin mengambil Syaibah supaya dibawa ke Mekah.
Ibunya tidak setuju tetapi Muttalib berkata, "Syaibah ini daripada keturunan Qusai bin Kilab. Dia adalah pemuka Quraisy. Tidak sepatutnya dia tinggal di luar Mekah. Lagipun dia sudah cukup umur sekarang."
Akhirnya, si ibu meminta supaya diserah pilihan kepada Syaibah sendiri, sama ada dia hendak tinggal dengan ibunya ataupun hendak mengikut bapa saudaranya ke Mekah. Syaibah memilih bersama bapa saudaranya Muttalib dan tinggal dengannya di Mekah. Syaibah mengikuti Muttalib kembali ke Mekah. Muttalib membawa dia naik satu kenderaan dengannya. Syaibah naik di belakang Muttalib.
Apabila tiba di Mekah, orang ramai melihat Muttalib membawa seorang budak remaja di belakangnya. Masyarakat yang terbiasa dengan jual beli hamba pada masa itu menyangka Muttalib membeli (hamba baru). Dari situlah Syaibah digelar oleh Quraisy sebagai Abdul Muttalib iaitu hamba Muttalib. Akhirnya nama ini menjadi masyhur.
Inilah dia Abdul Muttalib datuk Muhammad. Nama sebenarnya adalan Syaibah.
0 Comments