PENULISAN AKADEMIK: MERANCANG SATU AKTIVITI
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 5
BIDANG IBADAH DENGAN MENGGUNAKAN STRATEGI KOMUNITI
PEMBELAJARAN PROFESIONAL (PLC)
1.0 PENGENALAN
Komuniti Pembelajaran Profesional (KPP) atau Profesional
Learning Community (PLC) merupakan satu konsep yang tidak asing dalam
bidang pendidikan, terutamanya kepada negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat yang merupakan pelopor kepada amalan PLC. Untuk memastikan
profesionalisme keguruan dapat membangunkan modal insan bertaraf dunia
yang merupakan prasyarat untuk membawa Malaysia ke persaingan ekonomi
global abad ke-21, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mula
memperkenalkan dan mengimplementasikan konsep PLC dalam bidang
pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dengan cara
melaksanakan strategi Lesson Study kepada 289 panitia mata pelajaran di
289 buah sekolah berprestasi rendah pada tahun 2011.
Di bawah PLC terdapat elemen kritikal dan setiap elemen kritikal
mempunyai strategi PLC yang tersendiri. Penulisan ini akan memfokus kepada
penggunaan salah satu strategi PLC dalam Penswastaan Amalan (De-Privatization
of Practice), iaitu Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Session) untuk
mereka cipta satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran Ibadah yang berkesan.
2.0 KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL
PLC ialah singkatan kepada program 'Professional Learning
Communities' yang juga dikenali sebagai Komuniti Pembelajaran Professional yang
mana dapat mempertingkatkan cara pengajaran guru di samping meningkatkan
kemahiran pengetahuan mendidik. Istilah “komuniti” diguna pakai untuk mensasarkan
agar amalan dapat dilaksanakan secara berterusan. Misalnya, melanjutkan amalan
dalam bilik darjah ke dalam komuniti, membawa anggota komuniti ke sekolah untuk
menyokong sekolah dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid, serta
melibatkan murid, guru dan pengurusan sekolah secara kolaborasi dalam
pembelajaran (Boyer, 2010)
Professional Leaming Community (PLC) sebagai komuniti yang
berterusan melaksanakan aktiviti penyelidikan dan penambahbaikan. Untuk
mencapai hasrat tersebut, guru dan pihak pengurusan sekolah telah melibatkan
diri secara beterusan dalam mencari dan berkongsi pembelajaran serta
mengamalkan ilmu tersebut agar murid memperolehi manfaat (Barth,
2006).
3.0 SESI PERKONGSIAN GURU (TEACHER SHARING
SESSION)
Strategi sesi
perkongsian guru merujuk kepada sekumpulan guru (dari institusi yang sama atau
yang berbeza) bertemu secara kerap atau berkala secara formal untuk berkongsi
pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan amalan pedagogi yang terbaik (Bahagian
Pendidikan Guru, 2012). Bilangan guru tidak akan dihadkan dalam sesuatu kumpulan,
tetapi sekurang-kurangnya perlu ada dua orang guru yang berkongsi pengalaman
sesama sendiri. Perkongsian dalam kalangan ahli yang lebih ramai akan memberikan
lebih banyak perkongsian dari aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan
amalan pedagogi yang pelbagai. Perkongsian guru boleh diklasifikasi kepada dua
jenis, iaitu perkongsian bahan maujud dan perkongsian bahan bukan maujud.
Perkongsian bahan
maujud adalah seperti lembaran kerja, Rancangan Pengajaran Harian, bahan bantu
mengajar (BBM), manakala perkongsian bahan bukan maujud merangkumi amalan
pedagogi seperti amalan PdP, pengurusan murid dan bilik darjah, kemahiran dan pengalaman.
Strategi ini mempunyai tujuan untuk meningkatkan kualiti idea antara ahli
melalui penyebarluasan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan amalan pedagogi
sedia ada dalam sebuah organisasi. Melalui sesi perkongsian guru,
profesionalisme guru akan berkembang kerana ia membolehkan ahli belajar semasa
sendiri bagi memahami dunia pengetahuan dan persekitaran mereka (Carroll et al,
2003).
Ia telah memberi
peluang kepada para guru untuk berkongsi pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran,
strategi, bahan, pengalaman, amalan pedagogi dan sebagainya dalam konteks
profesionalisme keguruan di samping membantu mereka mengenalpasti, membiasakan
diri serta mempraktikkan amalan berkolaboratif dan menjadikan amalan perkongsian
ilmu sebagai satu budaya di tempat kerja. Sesi perkongsian guru boleh
dijalankan dengan menggunakan pelbagai strategi seperti tongkat sakti, “Show,
Tell, Share”, dan “Pillow Talk and Gallery Walk” (Michael Scott,
2017).
4.0 MEREKA
CIPTA SATU AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG BERKESAN DENGAN
MENGGUNAKAN STRATEGI “PILLOW TALK AND GALLERY WALK” YANG DIPEROLEHI
DARIPADA (TEACHER SHARING SESSION)
Suatu sesi
perkongsian yang berkesan memerlukan perancangan dan persediaan awal seperti
menetapkan matlamat perkongsian, jenis perkongsian, sesi perkongsian dan pembentangan.
Berikut merupakan langkah pelaksanaan strategi kedua, iaitu Pillow Talk and
Gallery Walk di bawah Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Session):
Guru perlu membuat
perancangan dan persediaan awal seperti menetapkan tajuk, standard kandungan,
standard pembelajaran dan objektif pembelajaran sebelum menjalankan sesi
perkongsian dalam kalangan murid-murid Tahun 5. Tajuk yang telah dipilih oleh
guru adalah tajuk Solat Berjemaah. Standard kandungan yang dipilih ialah
merumus konsep solat berjemaah dan mengamalkan serta menghayatinya secara
beradab dan istiqamah. Manakala standard pembelajaran yang dipilih adalah
menyatakan maksud solat berjemaah, menerangkan
kelebihan dan kepentingan solat berjemaah serta menjelaskan syarat sah
solat berjemaah. Untuk aktiviti “Pillow Talk and Gallery Walk”, objektif
pembelajaran yang harus dicapai oleh murid-murid Tahun 5 ialah mereka dapat
menerangkan sekurang-kurangnya 3 kelebihan dan kepentingan solat berjemaah
dengan yakin. Guru akan menyediakan contoh soalan seperti “Mengapakah umat
islam perlu untuk solat berjemaah?” dan “Apakah kelebihan solat berjemaah
berbanding solat bersendirian?” sebagai panduan kepada murid-murid untuk
menjalankan sesi perkongsian.
Sebelum memulakan
aktiviti ini, guru akan memberi arahan yang jelas kepada murid-murid terlebih
dahulu. Guru akan memberitahu murid-murid bahawa aktiviti ini akan dijalankan
selama 8 minit dan setiap murid dikehendaki mencatat segala maklumat yang telah
dibincangkan semasa sesi Pillow Talk kerana mereka akan menggunakan maklumat
tersebut untuk menghasilkan satu peta minda pada kertas bagi tujuan aktiviti Gallery
Walk. Selepas itu, guru akan membahagikan murid kepada beberapa kumpulan
kecil mengikut kesesuaian bilangan murid di dalam kelas. Sebagai contohnya, kelas
5 Firdaus mempunyai 20 orang murid dan guru perlu membentuk 4 kumpulan yang terdiri
daripada 5 orang murid.
Guru mengarahkan
ahli kumpulan duduk dalam satu bulatan kecil supaya dapat memudahkan proses
sesi perkongsian. Guru harus menyediakan 5 bantal dan meletakkan satu bantal di
tengah-tengah bulatan setiap kumpulan. Guru berperanan sebagai fasilitator akan
memberi soalan kepada kumpulan dan ahli kumpulan dikehendaki berkongsi isu,
masalah pendapat, pengetahuan atau pengalaman mereka mengenai solat berjemaah
di masjid mereka. Ahli kumpulan pertama akan mengambil bantal setelah dia
bersedia untuk berkongsi sesuatu isu atau masalah jika umat islam tidak solat
berjemaah. Selepas itu, ahli kumpulan lain akan mengambil bantal secara
bergilir-gilir untuk berkongsi solusi dan menjelaskan kelebihan dan kepentingan
apabila umat islam solat berjemaah.
Selepas tamatnya
sesi Pillow Talk, murid-murid akan menjalankan aktiviti Gallery Walk untuk
membentangkan hasil perbincangan mereka. Dengan menggunakan kertas
mahjong dan alat tulis, setiap kumpulan perlu menghasilkan catatan yang
merangkumi segala maklumat mengenai topik solat berjemaah yang telah dibincangkan
dalam bentuk peta minda. Seterusnya, mereka perlu menampal kertas mahjong
tersebut pada dinding dan melantik seorang ahli kumpulan sebagai wakil untuk
menyampaikan penjelasan semasa sesi Gallery Walk dijalankan. Ahli
kumpulan yang lain akan pergi ke setiap stesen dan mendengar penerangan yang
diberikan oleh wakil kumpulan yang dilantik. Murid-murid akan membuat
rumusan di bawah bimbingan guru dan mereka juga akan diberikan lembaran
kerja ataupun kuiz untuk menguji adakah mereka telah mencapai objektif
pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru.
5.0 PENUTUP
Justifikasinya, strategi-strategi
yang terkandung dalam konsep Professional Learning Community (PLC) telah
berperanan sebagai panduan asas yang membolehkan para pendidik untuk
membuat kerangka atau perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP)
secara sistematik dan mampu menjana idea yang kreatif serta inovatif
untuk menghasilkan aktiviti PdP yang sesuai dan berkesan untuk membantu murid-murid
mencapai standard pembelajaran dan objektif pembelajaran yang ditetapkan
oleh guru. Transformasi PdPc yang mencakupi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek
dan sosial perlu diperkukuh agar dapat melahirkan warganegara yang mampan serta
mampu bersaing di peringkat global (Zuraidah Abdullah, 2016). Oleh itu, para
pendidik haruslah menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai PLC
supaya dapat meningkatkan profesionalisme keguruan dan memajukan lagi
tahap pendidikan di Malaysia untuk melahirkan generasi muda yang dapat
menghadapi cabaran abad ke-21 dan menjana pertumbuhan ekonomi negara secara
seimbang.
RUJUKAN
Bahagian
Pendidikan Guru. (2012). Komuniti pembelajaran profesional (PLC). Portal
Rasmi Jabatan Negeri Perak. http://jpnperak.moe.gov.my/jpn/attachments/article/3772/Modul%20Asas%20KOMUNITI%20PEMBELAJARAN%20PROFESIONAL%20%28PLC%29.pdf
Barth. (2006). Improving Relationships Within the Schoolhouse. NEA.
Boyer,
W. (2010). Empathy Development in Teacher Candidates. Early Childhood
Education Journal, 38, 313-321.
Carroll,
J.M, Choo, C. W., Dunlap, D.R., Isenhour, P.L. (2003). Knowledge management
support for teacher. Educational Technology, Researach and Development,
51, 4, 42-64.
Michael
Scott. (2017). Pillow Talk: A Comprehensive Guide
to Erotic Hypnosis and Relyfe Programming. Kelly’s Fall.
Zuraidah Abdullah. (2016). Komuniti Pembelajaran Profesional di Malaysia. University Of Malaya Press.
0 Comments