TUGASAN 4 PRKA3012 - PENULISAN REFLEKTIF

 

PENULISAN REFLEKTIF PENGAJARAN MIKRO

 

1.0 PENGENALAN

Pengajaran makro merupakan simulasi pengajaran lengkap yang mempunyai tiga prosedur iaitu prosedur sebelum pengajaran, semasa pengajaran dan juga selepas pengajaran. Proses pengajaran makro juga memerlukan kesepaduan strategi, teknik. kaedah dan pendekatan yang sesuai bagi melahirkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan. (Esah Sulaiman, 2004). Dalam pada itu, fasa pengajaran makro yang terdiri daripada fasa persediaan, fasa imaginasi, fasa perkembangan dan fasa tindakan berteraskan unit-unit kemahiran yang efektif dan terlaksana juga merupakan antara asbab pencetus keberhasilan proses PdP. Pada tarikh 27 Mac 2023 bersamaan hari Isnin, pelajar PISMP Pengajian Islam Semester 2 Tahun 2 telah melaksanakan pengajaran makro berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi melengkapi kehendak kerja kursus Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran PRKA3012.

 

Pengajaran makro yang telah dilaksanakan berteraskan kognitif aplikasi dan analisis bagi murid tahun 5 dengan tajuk "Solat Jumaat" yang bertemakan kemasyarakatan telah berlangsung selama 60 minit bermula pada pukul 3:00 hingga 4:00 petang. Standard kandungan yang telah diguna pakai bagi pengajaran makro ini ialah merumus konsep solat Jumaat dan mengamalkan serta menghayatinya secara beradab dan istiqamah manakala standard pembelajaran pula ialah menyatakan maksud solat jumaat, membaca lafaz niat solat Jumaat dan menghuraikan amalan sunat sebelum solat Jumaat.

 

2.0 KEKUATAN PENGAJARAN MAKRO

Antara kekuatan pengajaran makro yang telah dilakukan ialah persediaan yang rapi telah dibuat sebelum pengajaran makro bermula di samping pengurusan bilik darjah dan penyampaian kandungan pembelajaran telah dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Persediaan yang rapi perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang ketidakinginan berlaku (Ahmad Zaibidi Abdul Razak, 2006). Pengawalan bilik darjah dengan menggunakan beberapa peraturan seperti mengangkat tangan terlebih dahulu sebelum menjawab soalan atau bertanya soalan serta mengangkat tangan bagi meminta izin melakukan sesuatu. Peraturan ini merupakan suatu cara yang diterapkan bagi mengajar murid untuk berdisiplin dan mengamalkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, faktor penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik dan bersesuaian dengan dengan tahap kognitif murid telah digunakan dalam pengajaran makro seperti tayangan video, penggunaan gambar-gambar menarik bagi menarik perhatian murid serta bertujuan untuk murid dapat mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan. (Eng. J. A, 2014) Berdasarkan pengajaran makro, faktor seperti keyakinan dan kelantangan suara dan penampilan guru juga perlu diberi perhatian yang tinggi.

 

Pemilihan kaedah dan teknik yang sesuai dan dapat menarik perhatian murid juga telah digunakan bagi memastikan murid tidak cepat bosan dan seronok di sepanjang proses PdP berlangsung. (Kamarudin Husin, 1998) Berikutan itu, aktiviti seperti permainan puzzle “mencantum gambar” yang berkonsepkan didik hibur juga merupakan salah satu cara bagi guru untuk menarik perhatian dan mengekalkan fokus murid serta menyemai semangat ingin belajar dalam diri murid. Penglibatan murid secara aktif melalui interaksi dua hala antara guru dan murid serta interaksi murid dan murid juga telah dilakukan bagi meningkatkan tahap kefahaman murid di samping dapat melahirkan iklim bilik darjah yang harmoni dan kondusif. Kaedah memberi sokongan dan ganjaran juga telah diberikan kepada murid agar murid dapat mengekalkan tingkah laku yang baik, memberi sepenuh perhatian dan juga berdisiplin.

 

3.0 KELEMAHAN PENGAJARAN MAKRO

            Setelah meneliti pengajaran makro yang telah dilaksanakan, terdapat beberapa kelemahan pengajaran makro yang dapat dikenalpasti antaranya termasuklah guru pelatih tidak memberi pemerhatian kepada murid secara menyeluruh. Terdapat beberapa murid yang telah mendapat tunjuk ajar daripada guru manakala terdapat segelintir murid telah diabaikan oleh guru. Hal ini kerana guru pelatih lebih menumpukan perhatian kepada murid yang lebih aktif dan banyak bertanya berbanding murid yang pendiam dan pasif.

 

            Dalam masa yang sama, murid tidak dapat memberi penumpuan dengan kadar yang konsisten. Murid bertindak melakukan aktiviti pengajaran dengan tidak bersemangat kerana terdapat beberapa aktiviti yang telah dijalankan oleh guru pelatih kurang menarik perhatian murid. Malahan unsur kecindan dan pandai berjenaka juga didapati kurang dalam diri guru. Maka, disini disertakan cadangan penambahbaikan untuk guru pelatih.

           

4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PENGAJARAN MAKRO

            Terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam proses pengajaran makro.  Sebagai  penambahbaikan,  guru perlu  melibatkan semua pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru membuat aktiviti didik hibur yang memerlukan kolaboratif antara murid dengan membentuk beberapa buah kumpulan. Dengan ini, semua pelajar akan terlibat dalam aktiviti PdP tidak kira murid yang aktif atau pasif.

            Dalam masa yang sama, guru pelatih mestilah memperbaiki kelemahan diri dan berusaha mendalami isi hati murid serta pandai menarik perhatian murid. Jelasnya, guru pelatih mestilah mengasah elemen kreativiti dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih produktif dan inovatif untuk melahirkan iklim pembelajaran yang bersepadu dan sejahtera.

 

4.0 PENUTUP

            Justifikasinya, pengajaran makro memberi manfaat kepada para guru pelatih sebagai persediaan untuk menghadapi situasi sebenar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah berlangsung. Guru pelatih juga dapat membiasakan diri dalam menerapkan pelbagai kemahiran dalam pelaksanaan proses PdP di samping memberi peluang kepada guru pelatih untuk memperbaiki kelemahan diri (Faridah Nazir et al., 2016). Melalui pengajaran makro, ramalan mengenai situasi PdP sebenar juga dapat dikenal pasti dan membolehkan guru menambahbaik strategi pengajaran dengan menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang berkesan dan bersesuaian. Pembelajaran kesepaduan teknik semasa melakukan pengajaran makro juga dapat memberi pendedahan awal kepada guru pelatih untuk menyediakan kemahiran yang lengkap semasa PdP berlaku. Jelasnya, pengajaran makro merupakan satu inisiatif jitu yang wajar dilaksanakan untuk guru pelatih bagi memberi persediaan dan pendedahan awal di samping melahirkan guru yang berkaliber dan kreatif pada masa akan datang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Ahmad Zaibidi Abdul Razak. (2006). Ciri Iklim Sekolah berkesan; Implikasinya terhadap motivasi pembelajaran. Jurnal Pendidikan, 3-19.

 

Eng. J. A. (2014). Pengurusan bilik darjah; strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran berkesan. PTS Akademia.

 

Esah Sulaiman. (2004). Pengenalan Pedagogi. Universiti Teknologi Malaysia.

 

Faridah Nazir, Faiziah Shamsudin & Amran Bakar. (2016). Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21. Sasbadi Sdn.Bhd.

 

Kamarudin Husin. (1998). Pedagogi Bahasa; Perkaedahan. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

 

 

.

Post a Comment

0 Comments