TUGASAN 2 EDUP3073

PENULISAN AKADEMIK:

PERANCANGAN LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA DI BILIK DARJAH

 

1.0 Pengenalan

Pengurusan bilik darjah mesra budaya bermaksud bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku (Bosch, 2006). Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar. Pengurusan bilik darjah yang berkesan serta mesra budaya dapat menggalakkan aktiviti intelektual, menggalakkan persahabatan, kerjasama dan sokongan di samping menggalakkan pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan pelajar. Ia adalah pakatan diantara guru dan murid bagi mengurus segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan fizikal, emosi, sosial serta sosiolinguistik yang dilaksanakan agar dapat mewujudkan satu alam belajar yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

 

2.0 Cadangan pengurusan fizikal yang mesra budaya di bilik darjah

Langkah dalam menguruskan bilik darjah mesra budaya dari aspek fizikal adalah guru perlu menitikberatkan susun atur dan reka bentuk fizikal bilik darjah. Hal ini demikian kerana, persekitaran fizikal yang bersesuaian dan selesa dapat merangsang aktiviti intelektual, meningkatkan hubungan sosial, menggalakkan pembelajaran dan pembangunan murid serta membudayakan nilai positif dalam kalangan murid di dalam kelas (Che Nidzam et.al, 2012).

Susunan dan reka bentuk bilik darjah mesra budaya dapat direalisasikan dengan

melaksanakan proses pembelajaran berpusatkan murid. Sehubungan itu, Susunan dalam bentuk kumpulan kecil dapat menggalakkan murid yang berbilang kaum untuk berinteraksi, berkongsi bahan pembelajaran, berbincang dan bertukar-tukar pendapat masing-masing. Dalam pada itu, guru boleh menempatkan murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dalam satu kumpulan yang sama bagi mengelakkan jurang perbezaan antara mereka. Sesungguhnya persekitaran berkualiti akan terhasil sekiranya prasarana

persekitaran pembelajaran dirancang dan disusun secara fleksibel serta memenuhi kriteria tertentu selari dengan keperluan murid dan matlamat kurikulum (Marinah Awang

et.al, 2018). Tambahan pula, bilik darjah mesra budaya boleh dicapai apabila murid dengan kepelbagaian budaya dapat menyemai sifat tolak ansur dan saling bekerjasama terhadap kebersihan bilik darjah. Justeru, semua murid bertanggungjawab terhadap jadual bertugas yang telah disediakan sebagai rutin bilik darjah sebelum dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

 

3.0 Cadangan pengurusan emosi yang mesra budaya di bilik darjah

Emosi dapat didefinisikan sebagai suatu perasaan yang kuat dan mengandungi pelbagai jenis perasaan seperti kasih sayang, keriangan, benci, takut, cemburu dan keseronokan (Hornby, 2005). Sehubungan itu, guru perlu bijak mengawal emosi murid-murid ketika belajar. Hal ini demikian kerana, emosi murid mempengaruhi tingkah laku, nilai dan kebolehan mereka sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung (Azizi Yahaya & Amir Hamzah, 2010). Dalam hal ini, guru boleh memberi peluang kepada murid untuk membuat keputusan sendiri seperti menentukan peraturan-peraturan di bilik darjah, membuat pilihan terhadap aktiviti pembelajaran yang digemari dan sebagainya.

Umum mengetahui, motivasi terbahagi kepada dua iaitu motivasi ekstrinsik dan intrinsik. Sebagai seorang guru, motivasi sama ada ekstrinsik mahupun intrinsik perlu disemai dalam diri murid. Tamsilnya, guru memberikan rangsangan dalam bentuk pujian dan hadiah kepada semua murid tidak kira kaum bagi mendorong mereka untuk belajar (Alhaadi Ismail & Norimah Zakaria, 2019). Tambahan pula, guru boleh menyediakan ganjaran dalam bentuk token kepada murid yang dapat mendengar arahan di samping menyiapkan tugasan yang diberi dalam masa yang telah ditetapkan. Secara tidak langsung dapat mempengaruhi emosi murid untuk bersaing secara sihat dan bersemangat untuk belajar dalam suasana bilik darjah mesra budaya.

4.0 Cadangan pengurusan sosial yang mesra budaya di bilik darjah

Seperti yang kita sedia maklum, sosial merangkumi aspek pertuturan dan pergaulan manusia sesama manusia dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu, guru dapat menggalakkan komunikasi antara murid lelaki dan perempuan dalam satu kelas yang sama dengan mengadakan aktiviti berkumpulan yakni menjurus kepada pembelajaran koperatif (Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail, 2013). Hal ini demikian kerana, murid dapat berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat sekaligus membina hubungan positif antara satu sama lain. Dalam pada itu, guru juga dapat menerapkan elemen komunikasi berkesan dalam diri untuk berinteraksi dengan murid yang pelbagai budaya. Sebagai contoh, guru menggunakan bahasa yang mudah difahami serta memandang ke arah murid apabila berkomunikasi dengan mereka agar murid dapat merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh guru. Sesungguhnya, kemahiran komunikasi berkesan dapat memberikan peluang kepada guru bersikap mesra ketika berinteraksi dengan murid. Secara tidak langsung, murid akan mencontohi sikap guru untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

 

5.0 Cadangan pengurusan pentaksiran yang mesra budaya di bilik darjah

Kini, sistem pentaksiran di Malaysia mengimplementasikan pentaksiran berterusan bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2023).  Bagi mewujudkan mesra budaya di bilik darjah, guru memainkan peranan untuk memberikan latihan atau ujian dengan pilihan jawapan yang mengandungi elemen budaya tempatan seperti kepercayaan, adat resam, bahasa dan sebagainya. Daripada pilihan jawapan tersebut, murid secara tidak langsung juga boleh memahami dan mengetahui bahawa terdapat pelbagai budaya yang wujud di negara Malaysia. Kefahaman tentang kepelbagaian budaya yang diberikan melalui pentaksiran juga dapat menerapkan sikap hormat terhadap kepercayaan dan adat resam bangsa lain.

Selain itu, guru juga boleh memberikan latihan yang mengandungi soalan atau tajuk yang menghargai perbezaan budaya seperti nilai-nilai sosial, agama dan sejarah. Soalan-soalan yang diajukan akan merangsang pemikiran pelajar dan menyedarkan mereka bahawa dengan menghargai perbezaan budaya akan mewujudkan suasana yang mesra budaya di dalam kelas. Maka, persekitaran yang kondusif dan semangat kooperatif dapat dibina antara murid yang terdiri daripada pelbagai budaya.

 

6.0 Penutup

            Education For All’, melalui prinsip ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk membangunkan modal insan yang holistik dan seimbang dari pelbagai aspek. Perkara ini merangkumi pendidikan untuk semua masyarakat tidak kira kaum. KPM menjelaskan bahawa tiada lagi jurang perbezaan dari segi pendidikan antara kaum. Dalam pada itu, KPM sangat berhasrat untuk membentuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat sejak peringkat rendah lagi. Sehubungan itu, pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi mengeratkan hubungan antara kaum misalnya program RIMUP. Kini, sekolah wawasan diperluas bagi menggalakkan interaksi sosial antara murid berbilang kaum. Tambahan pula, bilik darjah mesra budaya dilihat sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan semangat bersatu padu antara kaum. Oleh hal yang demikian, guru perlu sentiasa bersedia, berpengetahuan dan berkemahiran bagi merealisasikan hasrat KPM untuk membangunkan sistem pendidikan ke arah yang lebih cemerlang.

 

(967 patah perkataan)

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 49-63.

Alhaadi Ismail & Norimah Zakaria. (2019). Faktor yang Mempengaruhi Motivasi Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid. International Journal of the Malay World and Civilisation, 23-30.

Azizi Yahaya & Amir Hamzah. (2010). Kecerdasan Emosi dan Hubungannya Dengan Pencapaian Akademik dan. Jurnal Pendidikan, 1-11.

Bosch, K. (2006). Planning Classroom Management - A Five-Step Process to Creating a Positive Learning Environment (2nd ed.) California: Corwin Press.

Che Nidzam, Noraini Mohamed, Mazlini Adnan, Marzita Putih & Mohd Hairy Ibrahim. (2012). Pengaruh Persekitaran Fizikal Bilik Darjah Terhadap Tahap Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Pendidikan, 1-7.

Hornby. (2005). Oxford Advanced Learner's Dictionary. Oxford University Press, Hardback.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2023, Februari 15). Pentaksiran Bilik Darjah. https://www.moe.gov.my/soalan-lazim-menu/kurikulum/kurikulum

Marinah Awang, Mohd Ezrizal Zakaria & Ramlee Ismail. (2018). Hubungan Persekitaran Fizikal Bilik Darjah dan Kesejahteraan dan Keselesaan Pembelajaran dan Pengajaran. Management Research Journal, 86-99.

 

 

 


Post a Comment

0 Comments