TUGASAN 2 EDUP3045 - ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH, MODEL PENGURUSAN DISIPLIN DAN INTERVENSI SERTA PERBANDINGAN YANG BERLAKU DALAM KONTEKS PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 

PENULISAN AKADEMIK:

ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH, MODEL PENGURUSAN DISIPLIN DAN INTERVENSI SERTA PERBANDINGAN YANG BERLAKU DALAM KONTEKS PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 

PENDAHULUAN

            Menurut Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2013), bilik darjah ialah sebuah tempat yang kompleks di mana berlakunya beberapa aktiviti pada masa yang sama. Sebagai bakal guru, adalah menjadi suatu keutamaan untuk mengetahui akan pengurusan bilik darjah yang berkesan agar persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat dilaksanakan. Oleh itu, bagi memastikan keberkesanannya guru mestilah menjalankan tanggungjawabnya dalam menguruskan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membina hubungan positif dengan murid tidak kira di kelas aliran perdana mahupun inklusif. Selain itu, guru juga mestilah cakna terhadap isu-isu semasa berkaitan tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah dan mengetahui dengan sebaik mungkin akan model pengurusan disiplin dan intervensi yang sesuai bagi menangani tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Namun, jika dilihat daripada konsep pengurusan bilik darjah, pengurusannya bukanlah terletak di bahu  guru semata, malah memerlukan kerjasama daripada murid juga. Jadi, bagi memperluas pengetahuan tentang pengurusan bilik darjah ini, lensa penulisan diperkembang berdasarkan sumber bahan bacaan yang pelbagai dan menghubungkaitkannya dengan sebuah filem yang bertajuk “The Ron Clark Story”.

             

 

 

 

 

LATAR BELAKANG PERBINCANGAN

 

ISU- ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH MURID DI DALAM KELAS MERUJUK FILEM THE RON CLARK STORY

 

Dalam sesebuah bilik darjah sememangnya terdiri daripada murid-murid yang mempunyai harpan dan impian masing-masing. Jadi, guru hendaklah bersedia dari segi mental dan fizikal serta menyedari bahawa dalam satu-satu kelas terdiri daripada murid-murid yang mempunyai pelbagai tingkah laku. Sesetengah tingkah laku ini mungkin sukar diterima dan boleh menimbulkan pelbagai masalah.

Pada era globalisasi yang kian membangun ini, isu-isu berkaitan tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah dilihat kian meningkat dari hari ke hari. Antara isunya ialah mengganggu rakan sekelas atau membuli, hiperaktif, kurang sopan sesama guru dan rakan sekelas dan suka merosakkan harta benda di dalam kelas. Terdapat tujuh jenis masalah disiplin yang selalu berlaku di sekolah iaitu ponteng, datang lewat, rambut tidak terurus,merokok, peras ugut, ketagihan dan masalah sosial serius. (Alis Puteh, 2016)

Merujuk filem “The Ron Clark Story”, ia memperlihatkan bahawa murid-murid Ron Clark yang mempunyai tingkah laku bermasalah di dalam kelas sehingga menyukarkannya untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Antara tingkah laku bermasalah yang dilakukan ialah murid-murid bersikap kurang sopan terhadap Ron Clark dan sesama rakan mereka sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui watak Shameika yang menjawab panggilan gurunya dengan nada yang menjengkelkan sambil mencebik muka sebagai tanda benci. Selain itu, mereka juga merosakkan harta benda dan perabot yang berada di dalam kelas dengan menconteng dinding dengan menggunakan cat dan merosakkan kerusi dan meja sehingga Ron Clark tidak dapat melaksanakan pengajaran pada hari tersebut dek kerana tindakan mereka yang merosakkan bilik darjah dan tidak hadir ke kelas.

Terdapat juga dalam satu babak yang menunjukkan Shameika yang berbual dengan rakannya iaitu Alita Shamsez tentang peralatan make-up sedangkan Ron Clark sedang mengajar di hadapan kelas. Julion Vasque pula merupakan seorang murid lelaki yang nakal serta sering duduk secara membelakangkan guru untuk berbual dengan rakannya yang lain tidak kira sama ada ketika guru sedang mengajar ataupun tidak. Perwatakan Shameika, Alita dan Julio ini jelas menunjukkan tingkah laku bermasalah dalam kategori tidak memberikan perhatian dalam PdPC. Setelah diulang tayang filem ini beberapa kali, sebenarnya tingkah laku ini berlaku disebabkan pelbagai punca. Jika dilihat dari perwatakan Tayshawn Mishell yang agresif dan pemarah sebenarnya disebabkan masalah keluarganya yang sering membiarkannya dan memukulnya. Selain itu, punca masalah tingkah laku murid juga disebabkan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran, tiada motivasi untuk belajar dan estim kendiri yang rendah.

Kesimpulannya, dalam hal ini guru memainkan peranan penting dalam menguruskan tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah. Jadi, guru mestilah mengetahui pendekatan dan kaedah yang sesuai bagi menangani tingkah laku bermasalah yang wujud ini.

 

MODEL PENGURUSAN DISIPLIN DAN INTERVENSI YANG DIGUNAKAN OLEH EN. RON CLARK

 

Model Pengurusan Disiplin

            Lensa penulisan berfokus kepada Model Disiplin Asertif Canter iaitu yang berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan (Mohd Fuad Sam et al., 2017). Canter  berpendapat guru mempunyai hak untuk menentukan peraturan-peraturan di dalam bilik darjah serta memastikan murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Model disiplin ini dilihat lebih menyerupai Model Modifikasi   Tingkah   Laku   Skinner,   namun   model   ini   lebih   menekankan   penetapan   dan penguatkuasaan   peraturan   serta   memastikan   murid-murid   mematuhi   peraturan   tersebut dengan tegas. Model ini juga melibatkan ganjaran dan dendaan akibat daripada peraturan yang ditetapkan.

            Dalam   model   Disiplin   Asertif,   guru   perlu   mengendalikan   bilik   darjah   dengan berinteraksi secara tenang, serius dan konsisten dengan murid. Canter menyatakan bahawa murid-murid berhak untuk  mendapatkan suasana   pembelajaran  yang   tenang  dan  teratur manakala guru pula berhak untuk mengajar tanpa gangguan. Oleh yang demikian, guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid memilih tingkahlaku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran yang kondusif, keperluan-keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui pengurusan bilik darjah yang asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan peraturan tingkah laku yang jelas di dalam bilik darjah. Apabila murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, guru memberikan peneguhan seperti penghargaan dan pujian. Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan, guru mengenakan peneguhan negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya upaya akan mengelak daripada akibat dengan mematuhi peraturan.

Ron Clark telah mengaplikasikan langkah-langkah penerangan pelan pengurusan bilik darjah seperti yang digariskan dalam Model Asertif Canter dengan baik sekali. Beliau menerangkan keperluan peraturan dan menerangkan bagaimana peraturan-peraturan tersebut dilaksanakan. Sebagai contoh, dalam menerangkan peraturan nombor dua iaitu hormati antara satu sama lain dengan cara memanggil Ron Clark dengan panggilan “sir” dan meletakkan panggilan itu di setiap penghujung percakapan dengan guru apabila ingin bertanya seperti “ÿa, sir”. Beliau turut memberikan ganjaran kepada pelajar yang mengikut peraturan dengan membenarkan mereka untuk makan di kantin dan menegur Shameika, Julio, Tayshawn dan Arena Raquez bagi mencapai persekitaran yang kondusif.

 

Intervensi Yang Sesuai Bagi Menangani Tingkah Laku Bermasalah Di Dalam Bilik Darjah

                Menangani tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah merupakan langkah pertama dalam sistem pengurusan disiplin bilik darjah. Menurut Haliza Hamzah & Joy Nesamalan Samuel (2016), mereka mencadangkan beberapa intervensi yang boleh digunakan guru untuk mengawal dan mengurus masalah disiplin dalam bilik darjah iaitu intervensi teknik modifikasi tingkah laku, bimbingan dan kaunseling, terapi bermain, terapi seni, terapi muzik dan terapi bercerita.

Intervensi teknik modifikasi tingkah laku menggunakan prinsip peneguhan iaitu tingkah laku dipengaruhi oleh akibat, tingkah laku boleh dibentuk, dikekalkan, diteguhkan atau dilemahkan, bertindak berdasarkan tingkah laku yang diberikan ganjaran yang akan diulangi serta sebaliknya. Peneguhan positif (ganjaran) adalah lebih berkesan berbanding dendaan. Menurut Larrivee (2005), terdapat lapan peringkat peneguh iaitu dimulai dengan bahan makanan, barangan, token, aktiviti, keistimewaan, pengiktirafan rakan, perakuan guru dan kepuasan kendiri. Berdasarkan filem “The Ron Clark Story”, Beliau menggunakan gula-gula sebagai peneguhan apabila murid-muridnya berjaya menjawab soalan dengan cemerlang. Hal ini sememangnya berhasil membangkitkan semangat murid-muridnya untuk terus belajar dan sekaligus menjaga tingkah laku masing-masing.

Selain itu, Ron Clark juga menggunakan cara yang terkandung dalam intervensi bimbingan dan kaunseling. Bimbingan merupakan suatu proses berlanjutan dan berterusan yang mana ianya dirancang dan digunakan oleh guru untuk membantu murid-murid mengetahui dan menyedari akan kebolehan dan kelemahan diri serta membantu dalam membuat penyesuaian dangan persekitaran. Sebagai contoh, Ron Clark membimbing Tayshawn, seorang murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah dan kes jenayah. Beliau mengaplikasikan kemahiran-kemahiran bimbingan yang digariskan iaitu menunjukkan ekspresi muka yang gembira serta menggunakan tentangan mata yang memberi keselesaan kepada Tayshawn. Beliau juga bersikap tenang sehingga akhirnya Tayshawan mendengar nasihatnya dan kembali ke kelas untuk meneruskan PdPC. Jadi, langkah-langkah pencegahan dan intervensi perlu diambil segera bagi membantu guru mengahadapi masalah disiplin dalam bilik darjah.

 

PERBANDINGAN HAL YANG BERLAKU DENGAN KONTEKS DI MALAYSIA

Isu tingkah laku murid bermasalah ini juga berlaku di dalam negara kita, namun hanya berlaku secara halus. Meskipun begitu, guru sewajarnya mencari penyelesaian kepada isu-isu tersebut kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Jika dilihat pada keadaan negara Malaysia pada hari ini, statistik pada tahun 2017 menunjukkan kes ponteng sekolah mencatat rekod tertinngi dalam masalah salah laku disiplin (Haritis Asyraf Hanan, 2018).

Seperti yang telah dikemukakan, antara isu tingkah laku bermasalah ialah, tingkah laku kurang sopan, kekemasan diri dan vandalisme (Raja Noraina, 2019). Isu-isu tersebut boleh diatasi melalui intervensi yang dilaksanakan oleh guru dengan cara menjadi guru yang asertif seperti yang dicadangkan dalam Model Asertif Canter. Umum mengetahui bahawa tingkah laku murid bermasalah merupakan satu bentuk cabaran kepada guru. Namun, jika disipilin dan tingkah laku ini dapat dibentuk dengan baik, guru akan dapat melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

PENUTUP

            Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah memerlukan pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai guru seperti merancang, mengelola, menilai dan membuat refleksi agar proses PdPC berjalan lancar dan memastikan tingkah laku murid sentiasa dalam keadaan baik. Maka, guru seharusnya mempersiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran serta cakna dengan isu dan kemajuan dunia hari ini agar mampu untuk mendepani isu-isu semasa berkaitan tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah dengan baik. Guru yang berkualiti serta menjamin keberkesanan PdPC di dalam kelas adalah penting dalam pengurusan bilik darjah dan sekaligus dalam penghasilan modal insan seperti yang digarapkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang akhirnya akan membawa kepada kemajuan negara Malaysia.

 

 

 

 

RUJUKAN

Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin. (2013). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Freemind Horizons Sdn Bhd.

Alis Puteh.  (2016).  Profesion Keguruan: Peranan Etika Kerja dalam Mendisiplinkan Pelajar.  Penebit Universiti Utara Malaysia

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah. Oxford Fajar Sdn Bhd.

Haritis Asyraf Hasnan.  (2018). Ponteng sekolah catat rekod tertinggi salah laku disiplin 2017.  Astroawani.  https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ponteng-sekolah-catat-rekod-tertinggi-salah-laku-disiplin-2017-171057

Larrivee, B. (2005). Authentic classroom management: Creating a learning community and building reflective practice. Allyn & Bacon.

Mohd Fuad Sam, Marina A Majid, Rosnah A. Razak & Nordin Mohd Yusof. (2017). Murid dan Pembelajaran. Sasbadi Sdn. Bhd.

Raja Noraina Raja Rahim. (2019, February 18). 10,154 kes disiplin babit pelajar tahun lalu. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/02/532222/10154-kes-disiplin-babit-pelajar-tahun-lalu

Post a Comment

0 Comments